WANG untuk ANAK

Sebaiknya, didikan wang perlu diberikan kepada si kecil pada umur yang awal. Lebih awal, lebih baik. Tidak semestinya perlu menunggu mereka memasuki bangku sekolah ataupun apabila mereka bersedia membuka akaun bank sendiri baru soal kewangan dibincangkan. Topik mengenai wang dan kerja boleh disampaikan kepada si kecil dalam pelbagai cara.

Sebagai contoh, aktiviti harian seperti pergi membeli belah adalah peluang mendidik anak kita membandingkan harga.  Mengeluarkan wang dari mesin ATM juga merupakan peluang untuk menjelaskan bahawa wang tidak datang secara otomatik dari sebuah mesin, tetapi perlu bekerja atau berniaga untuk mendapatkannya. Menderma juga merupakan peluang untuk mengajar anak tentang pentingnya memberi wang untuk membantu orang lain. Jadikan aktiviti yang melibatkan wang ketika bersama anak sebagai aktiviti mendidik mereka tentang wang. Ilmu kewangan yang dikutip sedikit demi sedikit ini akan membantu mereka memahami soal wang dengan lebih jelas apabila membesar.



 
Apabila si kecil membesar, salah satu pengajaran yang amat penting untuk diterapkan adalah perlunya kerja untuk mendapatkan wang. Ini akan mengajar mereka tanggungjawab dan menjelaskan hubungan antara bekerja untuk mendapatkan wang. Bekerja untuk wang boleh bermula dari rumah seperti bantu basuh kereta ayah. Penting juga untuk mereka faham wang upah yang diberikan untuk apa sahaja kerja perlu disimpan sebahagian daripadanya dan bukan dibelanjakan sehingga habis. Satu konsep yang ramai antara orang dewasa masih sukar melakukan mungkin kerana tidak didedahkan sejak kecil
.
Sememangnya kita inginkan yang terbaik untuk anak kita ketika membesar namun adakalanya untuk kita biarkan mereka melakukan juga kesilapan dalam kewangan, seperti mana guru yang terbaik adalah melakukan kesilapan. 

Pengalaman itu akan mengajar mereka untuk memperbaiki diri sendiri dalam perihal kewangan. Kesilapan kewangan yang dilakukan ketika kecil akan membantu mereka melakukan kesilapan yang lebih besar apabila mereka layak menggunakan kad kredit kelak!
Sedih apabila melihat berita bahawa ramai antara muda-mudi hari ini perlu diisytiharkan muflis akibat penggunaan kad kredit dan juga pinjaman bank yang tidak bijak. Walaupun umur di awal 20-an pelbagai masalah kewangan melanda. Di manakah puncanya masalah ini? Besar kemungkinan adalah ilmu kewangan yang bijak tidak dipupuk sejak kecil lagi bermula dari rumah.

 Artikel ini adalah ekstrak artikel Irfan Khairi di Harian Metro, sisipan Majalah Metro, setiap Jumaat. Jangan lepaskannya!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...