Kita sering simpan duit untuk
beli kereta, beli rumah, pergi bercuti, simpan duit untuk pendidikan
anak-anak dan berbagai lagi. Tapi sering kita lupakan simpan duit untuk
diri kita apabila pencen kelak.
Ya, pastinya ada yang terbaca ini akan mengatakan, wang pencen
sememangnya disimpan melalui potongan gaji KWSP. Tetapi, hakikatnya
adalah, dengan hanya bergantung kepada simpanan KWSP, ianya tidak
mencukupi. Majoriti antara kita yang bergantung hanya pada KWSP akan
mendapat kurang dari RM300 sebulan sekiranya dikira jangka hayat yang
meningkat kepada 75 tahun. Adakah RM300 mencukupi untuk tanggungan
sebulan?
Kali
terakhir saya ke pasaraya pun jumlah belian adalah lebih dari RM300.
Itu juga tidak kira bayaran untuk lain-lain seperti kecemasan,
perubatan, dan perbelanjaan lain apabila tua kelak.
Bersedia untuk pencen kelak
adalah amat penting kerana, untuk membeli kereta, rumah atau pendidikan
anak-anak, sememangnya terdapat kemudahan pinjaman untuk tujuan ini.
Namun, sememangnya tiada pinjaman untuk membiayai hari tua anda. Oleh
sebab ini, wang pencen adalah tanggung jawab kita sendiri.
Jadi, apakah nombor ajaib disimpan untuk simpanan hari tua? Jawpannya
adalah 15% daripada pendapatan bulanan. Ini juga bergantung kepada waktu
anda mula menyimpan. Sekiranya anda mula menyimpan pada usia muda dalam
lingkungan 30 tahun, 15% setiap bulan adalah sasaran yang baik. Namun,
sekiranya simpanan anda bermula lebih awal seperti berumur 20-25 tahun,
10% simpanan dari pendapatan bulanan adalah baik. Tetapi harus ingat,
lebih lewat anda tersedar pentingnya menyimpan untuk hari tua, maka
lebih tinggi simpanan bulanan perlu dilakukan. Dan berkemungkinan lebih
sukar dengan pelbagai tanggungan yang perlu dibuat hari ini.