Renungan Ajal

Pagi ni saya berkesempatan untuk menonton sebuah drama yang bersiaran di Astro Oasis bertajuk Renungan ajal terbitan Global Network Entertainment
Sungguh terkesan pada jiwa saya bila saya menonton drama tersebut.


Ia mengisahkan tarikh kematian yang diketahui akan tiba. Bukan disebabkan hukuman mati oleh mahkamah kerana jenayah yang dilakukan, tetapi anugerah Allah kepada hamba-Nya yang terpilih berdasarkan amalan soleh dan ketakwaan.


Renungan Ajal menceritakan mengenai Mejar Yusof (lakonan Hafidzuddin Fazil) yang dianugerahkan Allah dengan tanda kematian pertama bermula pada suatu hari selepas beliau mendirikan solat Asar, iaitu tanda kematian yang akan terjadi dalam 100 hari. Insan mana yang tidak gusar untuk menghadapi detik kematian yang bakal menjelang.
 
Sebagai hamba Nya saya merasa sesungguhnya amat beruntung mereka yang dapat petunjuk bila kita akan kembali kepada Penciptanya.
 
Biar setinggi mana pun ilmu agama atau warak dan beramal soleh, kegusaran dan ketakutan tetap ada. Begitu juga Yusof. Tanda waktu 100 hari usia yang tersisa sebelum pergi menghadap Allah buat selama-lamanya meletakkan jiwa beliau dalam keadaan berbelah bagi. Dalam tempoh 100 hari yang tersisa itu, Yusof menanti dengan penuh gusar akan tanda-tanda yang seterusnya pada 40 hari, tujuh hari, tiga hari dan satu hari.

Konflik dalam diri Yusof bertambah apabila beliau diarahkan berkhidmat di bawah panji-panji Persatuan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tentera pengaman di Lubnan , sebuah negara yang sedang bergolak hebat di Timur Tengah  sedangkan ketika itu tanda kematian 3 hari sedang di hadapi oleh Yusof. Keinginan Yusof untuk menghembuskan nafas terakhir di pangkuan anak dan isteri terpaksa diketepikan.
 
Pelbagai doa dan ikhtiar telah dilakukan oleh Yusof untuk mengenepikan perasaan takutnya.Tetapi akhir dia redha dengan ketentuan Ilahi.dan akhir Yusof menghembuskan nafas terakhirnya ketika bertugas di Lubnan akibat serangan jantung.

Pelakon lain yang menjayakan Renungan Ajal termasuklah Marisa Yasmin, Sari Yanti, Buzen, Khairil Anwar, Norlia Ghani dan Tamam Idris.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...