Prinsip Pelaburan Benjamin Graham

“Untuk mendapat pulangan pelaburan yang memuaskan adalah lebih mudah daripada yang kita jangkakan; tetapi untuk mendapatkan pulangan yang lumayan sebenarnya adalah jauh lebih sukar daripada yang disangkakan” – inilah kata-kata pelabur terkenal Benjamin Graham, yang diakui sebagai bapa kepada dua prinsip asas pelaburan, iaitu analisis sekuriti (security analysis) dan pelaburan nilai (value investing).

Apabila disebut sahaja nama Benjamin Graham, ramai yang dapat mengenalpasti beliau sebagai seorang ikon kepada ramai pelabur terkenal seperti William J. Ruane dan Irving Kahn. Namun, pengikut beliau yang paling terkenal sudah pastinya adalah Warren Buffet.

Maka jika anda ingin belajar tentang cara-cara untuk melabur dengan bijak, tiada cara yang lebih baik selain daripada belajar daripada Benjamin Graham.

Benjamin Graham dilahirkan di United Kingdom (UK) pada tahun 1894. Pada usia semuda lapan tahun setengah, beliau telah berhijrah ke Amerika Syarikat . Walaupun dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan, beliau merupakan seorang yang sangat pintar. Beliau memperolehi ijazah daripada Universiti Colombia pada tahun 1914 dan memulakan kerjayanya sebagai penganalisa kewangan di Wall Street. Pada usia 32 tahun, beliau telah menubuhkan syarikat pelaburan swasta pertamanya yang dikenali sebagai Benjamin Graham Joint Account . Walaubagaimanapun, ketika Zaman Meleset (the “Great Depression”) sekitar tahun 1929 dan 1932, Graham telah mengalami kerugian sebanyak 70% daripada dananya yang bernilai USD2.5 juta. Walaupun ramai daripada pelanggan beliau telah berputus asa untuk memperoleh keuntungan daripada pelaburan mereka, namun beliau terus mengharungi Zaman Meleset dengan cekal dimana pada tahun 1935, beliau telah berjaya memperolehi semula wang yang hilang tersebut.

Apakah yang dianggap oleh Graham sebagai elemen-elemen penting untuk berjaya dalam pelaburan?
Peranan Benjamin Graham dalam dunia pelaburan sudah jelas terbukti dan kejayaan yang diraihnya wajar dijadikan panduan bagi mereka yang ingin mengorak langkah dalam bidang ini. Di sini, kita akan cuba memahami dengan lebih lanjut prinsip-prinsip pelaburan yang diasaskan oleh Benjamin Graham. Diantara prinsip-prinsip pelaburan beliau adalah:

Fahami perbezaan antara pelaburan dan spekulasi
Graham banyak menitikberatkan perbezaan di antara pelaburan dan spekulasi. Bagi beliau, setiap pelaburan melibatkan analisa yang mendalam mengenai sesuatu syarikat, perlu memiliki margin keselamatan (margin of safety) yang baik dan juga boleh mendatangkan pulangan yang memuaskan. Manakala, spekulasi pula sekadar melibatkan pemasaan (timing) dan memperolehi keuntungan hasil daripada turun naik pasaran.

* Lakukan analisa terperinci kerana saham mewakili pegangan dalam sesuatu syarikat
Dalam menjalankan analisa terperinci, para pelabur perlu menganggap pembelian saham dalam sesebuah syarikat seumpama membeli sebahagian daripada perniagaannya. Anda perlu menilai harga saham daripada sudut nilai aset dasar(underlying asset value), kekuatan kewangan (financial strength) dan prospek perolehan masa hadapan (future earning prospect) daripada mementingkan turun naik harga yang berlaku dalam pasaran untuk jangka masa pendek semata-mata. Analisa terperinci yang dijalankan ini akan memberikan para pelabur nilai intrinsik syarikat tersebut.
* Pastikan margin keselamatan anda kukuh
Prinsip Graham yang paling terkenal dan berkesan ialah margin keselamatan. Pengalaman yang diperolehi beliau ketika Zaman Meleset banyak meninggalkan kesan yang mendalam kepada beliau. Ia telah menjadikan beliau pelabur yang sangat berhati-hati dan mengutamakan pengekalan modal pelaburan. Sebagai contoh, jika nilai intrinksik sesuatu saham ialah RM1 dan anda dapat membelinya pada harga 67 sen, maka margin keselamatan anda ialah 33%. Margin keselamatan 33% ini akan bertindak untuk mengurangkan kesan ke atas pelaburan anda jika harga di pasaran jatuh kelak. Selain itu, ia juga bertindak untuk mengurangkan kemungkinan kehilangan modal sekiranya terdapat kesilapan dalam pengiraaan nilai instrinsik saham tersebut.
* Pastikan matlamat pelaburan anda realistik
Matlamat setiap pelabur sudah pastinya adalah untuk memperoleh keuntungan. Walau bagaimanapun, Graham memberi amaran kepada pelabur supaya tidak meletakkan sasaran pulangan yang tidak realistik. Ini adalah kerana jika sasaran pulangan yang diharapkan terlalu tinggi, anda mungkin akan mendedahkan diri kepada tahap risiko yang tinggi semata-mata untuk mencapai matlamat pulangan tersebut. Apa yang dikhuatiri ialah disebabkan pulangan yang tidak realistik ini, ia mungkin menyebabkan pelaburan anda bertukar menjadi spekulasi. Para pelabur perlu ingat bahawa tiada jalan mudah ataupun jalan pintas dalam pelaburan.
* Anggap pasaran sebagai hamba dan bukannya tuan
Graham percaya bahawa risiko dan pulangan tidak meningkat pada kadar yang sama. Oleh itu, beliau sentiasa mencari peluang memperoleh keuntungan dalam pasaran yang turun naik.Bagi beliau, pasaran saham bersifat manik depresif (tidak menentu) dan disebabkan faktor ini, pelabur sepatutnya menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk membeli saham murah ketika pasaran saham merudum. Mereka boleh mengelak daripada berhadapan dengan kadar risiko yang tinggi jika mereka memahami perniagaan syarikat suatu saham yang ingin dibeli. Selain itu, risiko juga dapat dikurangkan jika pelabur membuat keputusan yang bijak dalam melabur. Ini boleh dicapai dengan mengambil kira ketiga-tiga prinsip yang telah dibincangkan dalam usaha mencari saham yang mempunyai asas yang kukuh meskipun nilai saham-saham tersebut jatuh buat sementara waktu kerana keadaan pasaran yang tidak menentu.

Walau bagaimanapun, Graham tidak menggalakkan pelabur melabur berdasarkan unjuran (forecast) dan pemasaan (timing) pasaran semata-mata. Sebaliknya, pelaburan perlu dibuat berdasarkan harga saham yang menarik di pasaran. Antara kriteria yang digunapakai Graham dalam memilih sesuatu saham merangkumi perkara-perkara berikut:

* saham-saham terpilih perlulah mempunyai nisbah harga kepada nilai buku (price-to-book ratio) sebanyak 1.5 kali,
* nisbah harga kepada perolehan (price-to-earnings ratio) kurang daripada 20 kali; dan
* nisbah hutang kepada ekuiti (debt-to-equity ratio) sebanyak 0.5 kali.

Berpandukan prinsip-prinsip di atas, adalah jelas bahawa beliau mengamalkan prinsip pelaburan yang defensif. Ini kemudiannya menjadi prinsip asas pelaburan yang digunapakai oleh Warren Buffet, seorang lagi guru pelaburan tersohor yang telah mempelajari proses pemilihan secara kuantitatif ini ketika bekerja di syarikat milik Graham.

Bagi seorang pelabur biasa yang ingin mendalami dan mempraktikkan ilmu ajaran Graham , anda perlu bersedia untuk tekun menimba ilmu yang secukupnya dalam bidang perakaunan untuk memahami maklumat kewangan yang terkandung dalam laporan tahunan syarikat, akhbar dan majalah kewangan yang ada di pasaran. Selain itu, anda juga mesti peka terhadap sebarang maklumat yang boleh mempengaruhi prestasi syarikat ataupun industri berkaitan. Berbekalkan maklumat yang diperolehi, anda sepatutnya berupaya membuat rumusan dan keputusan sendiri berkaitan sebarang pelaburan yang ingin dibuat. Akhir sekali, anda juga perlu memiliki azam dan kepercayaan pada kajian yang telah anda lakukan demi mengelakkan diri daripada impak negatif pasaran. Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Post a Comment

tinggalkan komen anda di sini