Ahli Menipu Pengeluaran Perumahan KWSP Dijatuhi Hukuman

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa ahli KWSP yang terbabit dalam kes penipuan pengeluaran perumahan. Tindakan tegas ini diambil sebagai sebahagian daripada usaha bersepadu KWSP untuk membanteras penipuan pengeluaran.

Tiga ahli yang didapati bersalah oleh mahkamah kerana melakukan penipuan pengeluaran KWSP telah dijatuhi hukuman dan didenda antara RM600 hingga RM2,000. Salah seorang dari mereka berkemungkinan menghadapi hukuman penjara sebulan jika tidak membayar denda tersebut.

“KWSP telah bekerjasama erat dengan pihak polis untuk mendedahkan penipuan-penipuan yang dilakukan oleh sindiket yang mensasarkan ahli yang terdesak dan kesempitan wang. Kepada sindiket dan ahli yang terlibat dalam aktiviti penipuan ini, KWSP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka demi melindungi simpanan persaraan ahli,” kata Nik Affendi Jaafar, Pengurus Kanan Perhubungan Awam KWSP.

Sejumlah 31 kes penipuan pengeluaran perumahan sedang dalam tindakan mahkamah dengan jumlah kes tertinggi difailkan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya diikuti dengan Mahkamah Majistret Kota Bharu. Kesemua ahli tersebut termasuk tiga yang telah disabitkan kesalahan telah didakwa di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991.

Di bawah Akta tersebut, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000, atau kedua-duanya sekali. Bagi ahli yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan kepada KWSP dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan. Manakala bagi ahli yang tidak memulangkan wang tersebut atau memulangkannya selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, mereka akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

Pada tahun-tahun sebelum ini, beberapa kes penipuan yang melibatkan pengeluaran pendidikan, kesihatan dan perumahan berjaya dikesan apabila ahli mengemukakan dokumen palsu bagi menyokong permohonan pengeluaran berkenaan. Ahli-ahli terbabit telah didakwa dan dihadapkan ke mahkamah.

“Dengan keadaan ekonomi semasa, KWSP sedar terdapat segelintir ahli yang mungkin terpengaruh untuk menggunakan cara yang tidak sah bagi mengeluarkan simpanan KWSP mereka. Oleh itu, KWSP ingin mengingatkan ahli bahawa simpanan KWSP adalah untuk persaraan mereka dan jangan sesekali terpedaya dengan sindiket untuk menipu mengeluarkan simpanan KWSP,” kata Nik Affendi.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana pencen terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

sumber kwsp.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Post a Comment

tinggalkan komen anda di sini