Secawan Teh Hanya 30 sen.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin meningkat ini,begitu juga dengan kenaikan harga barang yang semakin menjadi-jadi naiknya.Bukan saya nak cerita pasal ekonomi tapi sekadar nak kongsi kisah seorang peniaga ni.Rasa-rasa logik tak dalam zaman macam ni ada lagi teh secawan hanya 30 sen sahaja.Kalau korang nak tau,memang masih ada teh secawan 30 sen.Percaya atau tidak itulah realitinya.
Bukan sahaja teh tapi boleh dikatakan semua makanan dan minuman yang ada di situ dijual dengan harga yang sangat murah.

Jom ikuti kisah nya.
Kuala Terengganu: “Saya berniaga bukan mencari keuntungan saja sebaliknya keberkatan. Biarlah untung hanya 10 sen, yang penting ia berkat,” kata Sinah Sulaiman, 64, pemilik sebuah kedai di Kampung Losong Atap Zin, di sini.
Itu jawapan diberikan Sinah ketika ditanya sama ada dia memperoleh keuntungan apabila menawarkan harga makanan dan minuman lebih murah berbanding kedai lain di negeri ini walaupun ketika ini orang ramai mengeluh dengan kenaikan harga barang.
Kedai Sinah berhampiran Muzium Negeri yang menyediakan minuman serendah 30 sen, sentiasa sesak dan menjadi pilihan pelanggan sama ada penduduk kampung atau pelancong.
Menurut ibu tunggal kepada lima anak itu, dia tidak begitu memikirkan keuntungan memandangkan kebanyakan pelanggannya penduduk kampung yang berpendapatan sederhana dan bekerja sendiri.
“Walaupun kedudukan kedai agak jauh dari bandar, ia tetapi dikunjungi pelanggan termasuk kakitangan kerajaan dan swasta.
“Melihat kedatangan pelanggan yang tidak putus-putus sudah cukup membuatkan saya bersyukur walaupun keuntungan tidak seberapa,” katanya yang mengusahakan kedai berkenaan sejak 20 tahun lalu.
Sinah berkata, dia tidak pernah menaikkan harga makanan dan minuman sejak kedai itu dibuka bersama arwah suaminya, Yusof Salleh walaupun harga barangan seperti gula dan susu sudah beberapa kali naik.
Katanya, dia menjual secawan teh O dengan harga 30 sen, manakala milo ais yang dianggap mahal sehingga lebih RM2 di kedai lain, hanya berharga RM1.
secawan teh 30 sen
“Selain harga minuman yang rendah, lebih 50 jenis hidangan termasuk kuih- muih juga dijual murah iaitu karipap empat biji RM1, apam lima biji (RM1), nasi lemak (RM1), nasi berlauk (RM2) dan bihun goreng (70 sen),” katanya yang memulakan operasi seawal jam 6 pagi hingga 7 malam.
Kakitangan kerajaan, Sofiah Abu Bakar, 28, berkata hampir setiap hari dia ke kedai Sinah untuk bersarapan walaupun ia terletak di hujung bandar raya ini.
“Walaupun harga murah, kedai ini mementingkan kualiti selain layanan mesra pemilik dan pekerjanya membuatkan saya selesa datang ke sini.
“Tidak keterlaluan jika saya katakan, kedai ini adalah paling murah di Terengganu dan ia menjadi faktor utama kenapa ia sentiasa sesak,” katanya.
Bagi Shamsuddin Aziz, 50, dia hanya tahu mengenai kewujudan kedai itu melalui televisyen sebelum datang bersama rakannya untuk mencuba hidangan yang ada di situ.
sumber:hmetro
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...