Wang & Kesihatan

Minggu lepas saya melawat seorang pak cik saya dalam lingkungan umur 60-an yang menghidap beberapa penyakit. Katanya, sebulan, perbelanjaan untuk ubat dan rawatan setiap bulan sahaja adalah dalam RM500-RM600, yang ditanggung menggunakan duit pencennya. Katanya pula, ada kawannya yang lebih teruk lagi! 

Menjaga kesihatan hari ini dapat menjimatkan beribu atau berpuluh ribu ringgit satu hari nanti. Pemakanan yang tidak sihat bukan sahaja merugi kan wang secara langsung, tetapi juga boleh menimbulkan masalah-masalah kesihatan lain yang memakan perbelanjaan perubatan yang tinggi di masa hadapan. Terlebih garam boleh mengakibatkan darah tinggi manakala terlebih gula boleh mengakibatkan diabetes. Pemakanan yang seimbang adalah kuncinya. Banyakkan memakan sayur-sayuran serta buah-buahan. Organik, adalah terbaik!


Lakukan senaman dengan kerap. Penyelidikan Cleveland State University, ada menjumpai bahawa, mereka yang kerap bersenam mempunyai pendapatan yang lebih tinggi daripada mereka yang tidak lakukan senaman. Menurut kajian ini, merkea yang bersenam 3 kali seminggu menjana pendapatan 10% lebih daripada mereka yang tidak bersenam. 

Ini kerana, mereka yang bersenam pastinya mempunyai semangat, momentum, dan motivasi yang lebih tinggi dan memberi kerja yang lebih produktif. Satu lagi alasan mengapa kita perlu keluar dan lakukan senaman hari ini!

Mengubah kesihatan diri bermula dengan mengubah tabiat diri. Sekiranya anda merokok, pastinya anda tahu kos merokok adalah amat tinggi, bukan sahaja pada kotaknya, tetapi juga kos kesihatan jangka panjang. Perokok tegar mungkin membelanjakan RM30 seminggu, iaitu dalam lingkungan RM120 sebulan. Melaburkan RM120 sebulan pada pulangan 12% akan menjadi lebih RM118,000 dalam masa 20 tahun. Tidak pula dikira kos merawat penyakit akibat rokok setiap tahun yang menjangkau berbilion RM.

Jangan lupa juga mengambil insurans kesihatan. Malang tidak berbau, dan walaupun melakukan senaman dan menjaga kesihatan, adakalanya penyakit tetap hadir. Sebagai langkah berjaga-jaga serta merupakan strategi kewangan yang baik, dapatkan insurans kesihatan dalam meringankan beban kewangan sekiranya terdapat penyakit yang datang.

Kini, bukannya untuk kita memilih antara wang ataupun kesihatan yang lebih penting. Keduanya adalah penting di zaman ini. 

Artikel ini adalah ekstrak dari Majalah Metro, Harian Metro setiap hari Jumaat- jangan lepaskan kolum bersama Irfan Khairi!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...