FUNGSI serta peranan pemegang amanah sudah dibincangkan siri terdahulu dan fokus kali ini ialah jenis amanah dikendalikan syarikat peramanahan terawal di negara ini, AmanahRaya ditubuhkan pada 1921 dan diperbadankan pada 1995.
Akaun amanah adalah salah satu elemen penting dalam pelaburan dan memberi pilihan jenis pelaburan kepada pelabur. Ia adalah satu pilihan pelaburan memberi jaminan pulangan dan keuntungan positif.
AmanahRaya selaras objektif penubuhannya menawarkan khidmat pembukaan dua akaun amanah iaitu akaun amanah secara automatik dan akaun amanah secara sukarela mengikut hasrat pelabur.
Akaun amanah secara sukarela adalah pelaburan bersifat unik dan dengan jaminan pulangan tinggi. Pelabur yang ingin membuka akaun amanah ini boleh mengisi borang permohonan, menyatakan butiran lengkap dan memberi dokumen sokongan kepada AmanahRaya.
Antara akaun amanah individu dalam permintaan antaranya ‘Safecare’, akaun amanah biasa dan akaun amanah hartanah. Pelabur individu boleh membuat keputusan atas jumlah yang akan dilabur dan tempoh matang pelaburan.
Akaun ini juga memberi ruang kepada pelabur untuk terus menamakan waris bagi pelaburan itu melalui Suratikatan Amanah yang diwujudkan berdasarkan hasrat dan terma dipersetujui pelabur dan AmanahRaya sebagai pemegang amanah.
Akaun amanah secara sukarela juga tidak termasuk dalam senarai harta pusaka jika pelabur meninggal dunia. Harta ini secara automatik seperti dinyatakan dalam Suratikatan Amanah akan menjadi hak milik pewaris seperti dinamakan. Ini adalah ciri unik mungkin jarang diketahui umum.
Surat ikatan Amanah memperuntukkan tugas, hak dan tanggungjawab penderma, pemegang amanah dan bagaimana amanah perlu ditadbirkan untuk manfaat benefisiari dinamakan. Selain wasiat, akaun amanah memberi pilihan kedua kepada pemilik harta untuk merealisasikan hasrat masing-masing.
Akaun amanah secara automatik tertakluk kepada pendaftaran kes. Harta amanah dibayar kepada AmanahRaya untuk membuka akaun amanah. Jika kes membabitkan harta tak alih (contohnya rumah aray tanah), ia akan melalui proses pindah milik tanah kepada AmanahRaya.
Ros (bukan nama sebenar) yang kematian suami mempunyai dua anak berusia tujuh dan 10 tahun diarahkan mahkamah untuk hadir ke pejabat AmanahRaya bagi membolehkannya mengeluarkan sejumlah wang peninggalan suami bagi bahagian diwarisi anaknya.
Dalam kes ini, anak Ros yang masih di bawah umur mewarisi pusaka arwah bapa mereka yang diamanahkan kepada AmanahRaya secara automatik. Sebagai penjaga dilantih mahkamah, Ros boleh mengeluarkan sejumlah wang bagi keperluan anaknya dan baki hanya boleh dikeluarkan selepas anak mencapai usia 18 tahun.
Pemegang amanah boleh membuat bayaran nafkah atau bayaran lain untuk manfaat benefisiari seperti pembelian komputer atau rumah. Pemegang amanah akan membuat pertimbangan setiap permohonan untuk menggunakan wang amanah.
AmanahRaya boleh menjadi pemegang amanah melalui Suratikatan Amanah melantik AmanahRaya sebagai pemegang amanah untuk kanak-kanak atau mereka tidak berkeupayaan. Amanah yang biasa diwujudkan adalah bagi wang pencen atau wang insuran di mana pihak berkaitan tidak dapat memberi pelepasan yang sah.
AmanahRaya juga boleh menjadi pemegang amanah bagi kanak-kanak atau individu kurang upaya yang berjaya mendapat pampasan ditentukan mahkamah untuk kes dibicarakan di mahkamah.
Dalam petisyen pembahagian pusaka yang difailkan di Pejabat Tanah, perintah juga boleh dibuat untuk AmanahRaya menjadi pemegang amanah kepada waris di bawah umur atau cacat akal.
Jika seseorang pekerja meninggal dunia, sejumlah wang pampasan akan dibayar mengikut perintah Pegawai Buruh untuk dibayar kepada orang tanggungannya. Bahagian waris kanak-kanak atau cacat akal akan dipegang oleh AmanahRaya di bawah akaun amanah.
Keadaan di mana wang dalam pentadbiran harta pusaka tidak habis dibahagikan atas alasan tertentu. wang itu boleh dibayar oleh AmanahRaya kepada dirinya sendiri untuk dipegang di bawah amanah bagi faedah benefisiari.
AmanahRaya juga boleh dilantik sebagai pemegang amanah untuk memegang harta tak alih seperti tanah dipunyai pihak yang tidak mempunyai kapasiti untuk memegang harta itu. AmanahRaya sebagai pemegang amanah akan memastikan harta amanah terdaftar atas nama pemegang amanah.
Selain itu, mengikut Akta Perbadanan Amanah Raya 1995, AmanahRaya sebagai pemegang amanah ditugaskan membuat pelaburan harta amanah supaya suatu pulangan baik dapat dimanfaatkan kepada benefisiari. AmanahRaya ketika ini membayar dividen atas akaun amanah sebanyak 4.25 peratus setahun.
INFO