DILEMA PINJAM DUIT

Beberapa perkara yang  boleh anda lakukan adalah...
Pastikan setiap pinjaman anda mempunyai cagaran. Ya, sekiranya kawan nak pinjam RM500, minta sesuatu untuk anda pegang yang berharga lebih dari RM500 sebagai cagaran. Mungkin minta mereka set television mereka untuk anda gunakan sementara berhutang. Selagi hutang tidak di bayar, anda pegang set TV tersebut. Gunakanlah dibilik tidur anda sekiranya ruang tamu sudah ada TV. Dan sekiranya kawan anda hendak menonton TV, bayar dulu wang RM500 tersebut.

Jangan lupa, apabila seseorang meminjam wang anda, ia adalah salah mereka dan anda yang dalam kerugian. Sekurang-kurangnya dengan cara ini, anda mengimbangi keadaan.
Keduanya, lakukan perjanjian bertulis mengandungi jumlah yang dipinjam dan terma bayaran. Pastikan terdapat sejumlah wang dibayar setiap 1hb pada setiap bulan apabila mereka mendapat gaji. Jangan biarkan pinjaman hanya sekadar janji mulut sahaja tanpa terma dan jangkamasa bayar balik. Dengan mempunyai perjanjian sebegini ia memastikan anda serius dalam mendapat wang anda kembali. Sekurang-kurangnya ia merupakan bukti bertulis sekiranya kawan anda buat-buat lupa hutang tersebut.
Ketiga, ketahui apakah kegunaan wang yang dipinjam. Sekiranya untuk upgrade dari bawa motor kepada bawa kereta kerana inginkan kemewahan, anda boleh pertimbangkan sendiri berbaloi atau tidak untuk anda beri pinjaman. Ataupun ahli keluarga ingin meminjam duit untuk extension rumah. Perlukah saya jelaskan lagi? Ketahui apa yang akan digunakan dengan wang yang dipinjam bukan sahaja untuk anda membuat keputusan meminjam atau tidak, tetapi sekurang-kurangnya anda tahu wang anda tidak pergi ke perkara yang tidak elok dan membazir sahaja. Sebaiknya untuk mengawal keadaan pinjaman, anda sendiri membayar wang tersebut untuk kegunaan yang dikatakan.
Akhir sekali, jangan pinjamkan wang sekiranya anda sendiri tidak mampu. Anda telah bekerja keras untuk mendapatkan wang, jangan pula akibat meminjamkan wang kerana kasihan anda tinggal sehelai sepinggang. Jangan sehingga simpanan anda kering kontang. Nanti silap haribulan, anda pula yang makan nasi berlauk garam!
Tepuk dada, tanya selera apabila seseorang meminta pinjam wang. Terdapat berbagai kemudahan pinjaman wang melalui institusi kewangan sama ada untuk tujuan peribadi, membeli kereta, rumah, atau perniagaan. Mungkin keputusan terbaik anda adalah untuk menasihatkan kawan anda mendapat pinjaman dari institusi tersebut. Dan sekiranya mereka katakan mereka telah cuba tetapi tidak diluluskan, maka, satu lagi sebab anda perlu fikirkan. Sedangkan bank tidak meluluskan pinjaman mereka kerana tidak yakin dapat dibayar balik, masakan anda pula yang yakin mendapat wang anda kembali!

*Ekstrak artikel Irfan Khairi dari Harian Metro hari ini! Jangan lepaskan artikel IK setiap Jumaat di Harian Metro, Majalah Metro!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...